·
Beberapa minggu lalu saya ada terfikir untuk menulis beberapa tips dan
petua berkenaan teknik ingat apa yang sudah dipelajari. Namun, saya sudah
tuliskan isi-isinya dalam kemahiran menghafal. Di dalam petua yang saya ingin
kongsikan beberapa hari ini agak berbeza kerana ini adalah cara praktikal yang
anda boleh gunakan untuk mengingati sesuatu dengan lebih mudah.Petua ini tidak
semestinya anda gunakan semasa belajar, tetapi dalam mana-mana keadaan
yang memerlukan anda untuk mengingat sesuatu. Contohnya, jika seseorang
menerangkan cara untuk pergi ke suatu tempat, anda akan lebih mudah ingat
penerangan itu jika anda gunakan petua-petua ini. Jadi, kita akan mulakan
dengan petua yang pertama minggu depan.
Selamat membaca.
Petua 1
Petua yang pertama ialah ‘tumpukan sepenuh perhatian’ kepada
apa yang anda mahu anda ingat. Begini, dalam kehidupan seharian kita, terlalu
banyak benda dan perkara yang berlaku disekeliling kita. Jika anda berada di
dalam kelas, ada bunyi kipas, bunyi kawan-kawan sedang bercakap, bau makanan
yang datang dari kantin, suara cikgu sedang mengajar, bunyi tapak kaki pelajar
di luar kelas, pokok-pokok yang bergoyang di luar kelas dan sebagainya.
Walaupun banyak perkara yang berlaku, minda anda hanya boleh fokuskan
kepada satu perkara sahaja pada satu masa. Jika anda fokuskan kepada
pokok-pokok yang sedang bergoyang, anda tidak akan sedar tentang perkara lain.
Masalahnya, jika anda fokuskan kepada pokok-pokok yang bergoyang semasa guru
anda mengajar, anda akan ingat tentang pokok bergoyang juga semasa peperiksaan
nanti. Ini sama seperti kejadian hilang kunci di rumah. Pernahkah anda terlupa
di mana anda letakkan kunci rumah hingga puas anda cari seluruh rumah?
Mengapa anda lupa di mana anda letak kunci tersebut? Menurut kajian, sebab
utamanya ialah anda tidak menumpukan perhatian kepada kunci itu semasa anda
meletakkannya di sesuatu tempat. Maksudnya, semasa anda tidak sengaja
meletakkan kunci tersebut di dalam peti ais, fikiran anda sedang sibuk fokus
kepada perkara lain seperti rancangan di televisyen atau masakan tengahari.Jadi
jika anda mahu ingat apa yang guru anda ajarkan, semasa guru mengajar:
·
Abaikan perkara lain yang berlaku disekeliling anda. Beri tumpuan
sepenuhnya kepada apa yang guru anda sedang katakan dan cuba fahami maksudnya.
Tukarkan kata-kata guru anda kepada gambar di dalam minda anda. Katakan guru
anda sedang bercerita tentang kesan asap kilang kepada pencemaran udara,
bayangkan anda sedang melihat asap tersebut dan anda dapat lihat bagaimana
udara menjadi kotor disebabkan asap tersebut. Kadang-kadang gangguan boleh
datang daripada kawan anda sendiri. Ada pelajar yang suka bercakap dan bertanya
kepada anda semasa guru sedang mengajar. Ini sangat mengganggu. Walaupun kawan
anda mahu tanya tentang pelajaran, dia tidak sepatutnya tanya anda sewaktu
guru sedang mengajar. Jika mereka mahu tanya, mereka patut tanya guru. Jika
anda ada kawan yang selalu mengganggu konsentrasi anda, anda patut berterus
terang dan bercakap kepadanya dengan baik. Jika dia tidak berubah, anda patut
fikir jika anda perlu ubah tempat demi memajukan pelajaran anda.
·
Jika anda ada apa-apa yang tidak faham, tanya guru anda bukan kawan di
sebelah anda. Jika anda tanya kawan disebelah, guru akan sangka anda sedang
berbual dan tidak menumpukan perhatian. Tambahan lagi, kawan anda mungkin tidak
tahu bagaimana hendak menjawab soalan anda.
Anda perlu tahu, anda tidak ingat sesuatu dengan tidak sengaja. Anda
tidak boleh ingat fakta sejarah dengan tidak sengaja. Anda perlu fokuskan
sepenuh tumpuan anda kepada apa yang anda pelajari. Proses mengingat akan jadi
jauh lebih mudah jika anda fokus. Teknik ini boleh anda gunakan semasa belajar
apa sahaja.
Selamat mencuba.
Petua 2
Sebelum anda pelajari petua kedua, tahukah anda bahawa bahasa memorianda ialah ‘gambar‘? Ini
bermaksud, anda berfikir dan mengingat dengan cara bergambar. Jika sesoerang
menyebut perkataan ‘asap’, anda akan terbayangkan gambar asap yang
berkepul-kepul, bukan tulisan ‘a.s.a.p’. Dengan mengetahui bahasa memori ini,
anda boleh mengingati sesuatu dengan lebih mudah.Petua kedua berbunyi,
‘tukarkan maklumat yang ingin anda ingat kepada gambar’.
Sebagai contoh, jika seseorang memberi tunjuk arah kepada anda untuk
pergi ke sesuatu tempat, anda akan lebih mudah ingat jika anda menukarkan
maklumat itu kepada gambar. Contohnya, jika orang itu berkata, jalan terus
melalui jalan ini (bayangkan gambar jalan raya yang lurus), kemudian belok kiri
pada lampu isyarat pertama (bayangkan anda dapat lihat satu lampu isyarat dan
mula membelok ke kiri), jalan terus lagi hingga anda jumpa pasaraya X
(bayangkan anda bergerak terus hingga bertemu pasaraya x. Bayangkan rupa
pasaraya X itu!) dan……seterusnya…..
Dengan menukarkan maklumat kepada gambar, anda lebih mudah ingat
berbanding dengan hanya mendengarnya sahaja. Di dalam kelas atau dewan kuliah
pula, anda perlu buat diri anda sibuk dengan menukarkan maklumat daripada gur
dan pensyarah kepada gambar. Ada satu sebab utama mengapa anda perlu lakukan
ini. untuk pengetahuan anda,
·
kelajuan manusia bercakap adalah antara 150 – 200 patah perkataan
seminit
·
kelajuan manusia berfikir adalah antara 300 – 500 patah perkataan
seminit.
Ini bermaksud, semasa guru atau pensyarah anda bercakap, minda anda ada
banyak masa untuk leka dan hanyut memikirkan perkara lain. Dengan menukarkan
apa yang guru/pensyarah anda katakan kepada gambar, anda akan lebih fokus dan
tumpuan anda tidak akan terpesong ke tempat lain. Ini pastu akan membuat anda
lebih mudah ingat.
Selamat mencuba.
Petua 3
Petua ketiga untuk mudah mengingati sesuatu ialah anda perlu ulang dan
latih semula apa yang anda ingin ingat. Kajian mengatakan bahawa selepas 48
jam, anda akan lupa lebih daripada 90% apa yang telah anda pelajari. Perkara
ini boleh dielakkan jika anda mengulang semula apa yang telah anda pelajari
atau apa yang ingin anda ingat.
Tentu anda pernah dengar pepatah Inggeris yang mengatakan ‘Repetition is the mother of all skills” (Pengulangan
adalah ibu kepada segala kemahiran). Jika anda mahu pandai menaiki basikal,
anda mesti menunggang basikal berulang-ulang kali hingga anda benar-benar
pandai dan cekap.Katakan anda baru mengenali seseorang dan dia memperkenalkan
diri dan namanya. Tentu anda ada pengalaman sebaik sahaja seseorang memberitahu
nama mereka, anda lupa apa nama itu.
Akhirnya anda dengan rasa malu terpaksa bertanya sekali lagi. Untuk
mengelakkan perkara begini, setelah seseorang itu memperkenalkan namanya, anda
perlu sebut nama itu kembali dan gunakannya dalam perbualan anda. Contohnya,
“Nama saya Ahmad.” “Oh..Ahmad…..Ahmad dari mana….” Ahmad ke sini ada urusan
apa?”Apabila anda mengulang nama itu beberapa kali dalam perbualan anda, anda
jadi lebih mudah ingat nama itu.Di dalam pelajaran pula, satu teknik terbaik
untuk ingat apa yang guru anda ajarkan ialah pada waktu malam sebelum anda
tidur, anda buka semula buku dan nota yang anda tulis dalam kelas bersama guru
anda siang tadi.
Baca semual buku dan nota itu sepintas lalu. Cuba ingat semula apa
maksud tulisan anda itu. Lebih baik lagi, cuba ingat bagaimana cara gru anda
menerangkan tentang nota itu siang tadi. Ia seolah-olah anda cuba memainkan
semula video di dalam minda anda mengenai apa yang anda pelajari siang
tadi.Hasilnya, anda akan ingat lebih lama apa yang anda pelajari.
Jika anda cuba menghafal sifir juga, anda mungkin rasa susah hendak
hafal jika anda baru mencuba 5 ke 10 kali sahaja. Apa kata anda cuba hingga 100
kali. Tentu ia jadi lebih mudah.
Selamat mencuba.
Petua 4
Petua keempat untuk mudah ingat sesuatu yang dipelajari ialah denganmenjaga masa tidur anda. Untuk pengetahuan anda,
minda anda lebih mudah ingat sesuatu jika ia berada dalam keadaan cergas dan
segar. Sebab itulah anda selalu dengar petua untuk menghafal sesuatu di waktu
pagi.
Di waktu pagi selalunya minda anda lebih segar kerana baru sahaja
berehat sepanjang malam. Namun, masalahnya ialah jika anda tidak menjaga masa
tidur anda, minda anda akan sentiasa keletihan dan tidak mampu mengingati
sesuatu dengan mudah.Saya mahu tanya anda, pukul berapa anda tidur pada waktu
malam? 10? 12? 2 pagi? kebanyakan pelajar mengatakan mereka tidur antara pukul
10 hingga 12 malam.
Ada juga yang tidur lebih lewat daripada itu. Mengapa? Belajar adalah
alasan mereka.Anda perlu tahu, minda anda adalah alat utama untuk anda mencapai
kejayaan dalam bidang akademik. Jika seorang pelumba motosikal memerlukan
motosikal sebagai alat utama dan pelumba kereta memerlukan kereta sebagai alat
utama, anda perlukan minda anda. Jika minda anda lemah, sama seperti motor atau
kereta yang tidak berkuasa, pasti tidak boleh memenangi pertandingan.Jadi anda
perlu dapatkan tidur yang mencukupi.
Menurut satu kajian yang saya baca, masa paling bagus untuk tidur supaya
mendapat kesan rehat yang baik ialah sebelum pukul 12 tengah malam. Jika anda
tidur dalam pukul 10 atau 11 malam, tubuh anda akan rasa lebih segar di waktu
pagi kerana waktu itu sangat sesuai untuk tubuh manusia berehat dan tidur.
Katakan anda tidur pada pukul 1 atau 2 pagi, tubuh dan minda anda akan rasa
penat walaupun anda bangun lewat keesokan harinya.Mulai hari ini, jika anda
biasa tidur lewat untuk mengulangkaji, dapatkan satu atau dua hari dalam
seminggu untuk tidur awal (antara pukul 10 hingga 11).
Ini akan memberi tubuh badan dan minda anda masa yang cukup untuk
berehat sepenuhnya. Ingat, tubuh dan minda yang segar akan membuat anda jadi
lebih aktif dan mampu mengingati apa yang anda pelajari dengan lebih mudah.Satu
cara mudah untuk tidur awal pula ialah dengan melakukan aktiviti riadhah /
sukan yang berat sedikit pada waktu petang. Apabila tubuh anda letih akibat
riadhah yang menyihatkan, anda akan lebih mudah tidur. Dalam masa yang sama,
kurangkan tidur pada waktu siang.
Selamat mencuba.
Petua 5
Petua yang kelima untuk mudah ingat apa yang anda pelajari ialah anda
perlu mempraktikkan apa yang anda pelajari dengan serta merta.
Contohnya, jika anda baru sahaja belajar satu topik baru dalam subjek
matematik, anda perlu segera cuba menyelesaikan masalah atau latihan matematik
dalam subjek tersebut. Mengapa?Kebanyakan pelajar suka menunggu masa yang
sesuai untuk mencuba perkara yang baru dipelajari. Jika satu topik baru diajar
pada hari Isnin dan kerja rumah diberikan, pelajar akan berlengah-lengah dalam
melaksanakan kerja tersebut.
Seperti yang pernah saya terangkan sebelum ini, jika pelajar bertangguh
hingga melepasi tempoh 48 jam, mereka akan lupa lebih daripada 90% apa yang
mereka pelajari itu.Setelah anda pelajari topik baru, anda perlu segera mencuba
dan buat latihan berkenaan. Ini adalah kerana, dalam masa yang singkat sahaja
anda akan lupa apa yang guru anda telah ajarkan.
Apabila anda lupa, anda tidak akan faham nota yang telah anda tulis
sendiri. Apa akan jadi ialah anda perlu belajar semula topik itu dari awal
hingga akhir.Katakan anda sedang belajar subjek selain subjek matematik.
Katakan anda sedang belajar subjek sejarah.
Apabila guru anda menerangkan tentang kisah penjajahan Jepun contohnya,
anda boleh bayangkan seolah-olah anda sendiri berada pada zaman itu. Apabila
anda bayangkan begitu, anda akan rasa lebih jelas mengenai kisah sejarah itu.
ia seolah-olah anda boleh lihat semua kejadian semasa zaman itu di dalam minda
anda. Ini akan membuat anda lebih ingat akan topik ini.
Satu kelebihan utama jika anda praktikkan apa yang anda pelajari secepat
mungkin ialah anda akan cepat dapat menguasainya. Untuk menguasai sesuatu topik
atau subjek, ’susah’ hanyalah pada peringkat permulaan. Apabila anda sudah
melepasi tahap susah itu, semuanya akan jadi lebih mudah dan selesa. Sama
seperti anda belajar menunggang basikal.
Pada mulanya anda perlu ingat bagaimana cara hendak mengayuh dengan
betul. Tetapi setelah anda menguasainya, anda boleh lakukannya tanpa berfikir.
Malah, walaupun anda tidak menunggang basikal bertahun-tahun lamanya, kemahiran
menunggang basikal pasti masih ada pada anda.
Selamat mencuba.
Petua 6
Petua keenam untuk mudah ingat apa yang anda pelajari ialah mudah iaitu,
‘tulis‘. Saya selalu perhatikan gelagat pelajar semasa
berada di dalam kelas, ceramah atau kursus. Mereka selalu leka mendengar atau
mengelamun tanpa berbuat apa-apa mengenai apa yang mereka dengar.
Perkara ini juga mengingatkan saya kepada seorang ustazah saya yang
mengajar bahasa Arab semasa saya di tingkatan 3, ustazah Fatimah.
Ustazah saya ini terkenal dengan ungkapannya, “Ha…catatlah….”. Setiap hari dan hampir setiap kelas
Ustazah akan menyuruh dan mengingatkan kami untuk mencatat apa yang kami
pelajari.
Walaupun kami sedar apa yang ustazah ajarkan sangat penting, kami selalu
leka dan tidak mencatatnya. Kini, saya benar-benar boleh melihat
mengapa Ustazah Fatimah beria-iya benar mahu kami mencatat apa yang telah
kami pelajari. Satu sebabnya anda pasti sudah tahu bahawa kita mudah
lupa.
Dengan mencatat atau menulis apa yang baru kita pelajari, kita boleh
merujuk kepadanya pada bila-bila masa sahaja. Kedua, apabila anda menulis
apa yang anda pelajari, fikiran anda akan fokus kepada apa yang anda tuliskan
itu. Jadi, anda tidak akan leka. Minda yang fokus kepada sesuatu yang
dipelajari akan lebih mudah mengingatinya.
Ada beberapa tips untuk menulis apa yang anda pelajari.
·
Pertama, anda tidak semestinya menulis bulat-bulat apa yang guru anda
tuliskan di papan hitam. Apa yang patut tulis adalah berdasarkan apa yang anda
faham. Tulis dalam bentuk yang anda boleh faham.
·
Kedua, jika anda menyalin nota yang guru anda berikan, buat penerangan
kecil dalam ayat anda sendiri tentang maksud nota yang anda salin itu.
Contohnya, jika anda menyalin nota yang menunjukkan jalan kerja matematik, anda
boleh tuliskan penjelasan menggunakan ayat anda sendiri (jika boleh,
menggunakan pen warna berbeza) tentang jalan penyelesaian matematik. Ini supaya
anda faham apa yang berlaku di dalam jalan penyelesaian matematik itu kelak.
Anda perlu ingat, antara menulis nota dan mendengar
penjelasan cikgu, yang kedua adalah lebih penting. Ini bermaksud, jika guru
anda sedang menerangkan tentang sesuatu, berhenti menulis dan
dengar penjelasannya dengan teliti. Tulisan anda tidak akan bermakna jika anda
tidak faham apa yang guru anda terangkan.
·
Jadi kreatif. Anda boleh reka nota dan tulisan anda sendiri. Nota patut
jadi sesuatu yang menyeronokkan untuk dibaca. Gunakan warna. Gunakan lukisan.
Kadangkala penerangan guru anda boleh ditulis dalam bentuk lukisan, bukan
tulisan.
Selamat mencuba.
Petua 7
Petua yang terakhir buat untuk mudah ingat apa yang dipelajari
ialah‘mengaitkan sesuatu yang dipelajari itu kepada sesuatu
yang sedia ada diketahui’. Hmm…jangan risau jika anda kurang pasti
apa maksudnya…..
Begini, bayangkan anda sedang belajar tulisan dalam bahasa Cina. Jika
anda pertama kali melihat tulisan dalam bahasa Cina, anda akan rasa sangat
sukar mengenal pasti perbezaan antara setiap huruf-huruf itu. Ini adalah kerana
anda tidak tidak boleh mengaitkannya kepada apa yang pernah anda lihat sebelum
ini. Jika anda belajar Bahasa Inggeris, sekurang-kurangnya abjad A.B.C.D…dan
sterusnya itu anda sudah biasa lihat. Apabila anda sukar untuk mengenal pasti
perbezaannya, anda akan hadapi kesukaran untuk mengingatinya.
Namun, jika anda boleh mengaitkan huruf-huruf itu kepada sesuatu yang
anda sudah biasa lihat, anda akan lebih mudah mengenalpasti huruf-huruf
tersebut. Contohnya, ada huruf yang anda kata ‘macam gambar pokok
rendang’. Ada huruf yang macam bentuk ‘H’. Ada huruf yang macam orang sedang
berlari.
Mengaitkan huruf tulisan Cina kepada bentuk-bentuk yang anda kenal
itulah yang dimaksudkan dengan ‘mengaitkan sesuatu yang dipelajari itu kepada
sesuatu yang sedia ada diketahui’.
Apabila anda belajar sesuatu yang baru, anda akan lebih mudah ingat jika
anda kaitkan pelajaran baru itu kepada sesuatu yang anda sudah tahu. Ini
bermaksud, anda perlu memberikan makna atau maksud kepada apa yang anda
pelajari.
Katakan anda sedang menghafal subjek Sains, organ dalaman telinga
contohnya. Ada satu bahagian dalam telinga namanya Cochlea. Mungkin sukar untuk
anda ingat nama ini kerana anda jarang mendengarnya. tetapi, apa kata jika anda
tukarkan Cochlea ini kepada perkataan ‘Kak Lia’ dan
bayangkan seorang perempuan berpangkat kakak yang anda panggil Kak Lia? Ia
lebih mudah diingat bukan.
Satu contoh lagi dalam organ telinga ialah eardrum. Anda tahu drum itu adalah
gendang. Jadi, apa kata anda kaitkan eardrum kepada satu gambar gendang kecil
yang ada dalam telinga? Ia lebih mudah diingat bukan?
Jadi, mulai hari ini, kaitkan apa-apa sahaja yang anda pelajari kepada
sesuatu yang anda sudah ketahui.
Selamat mencuba.
Alhamdulillah, saya telah berjaya kongsikan 7 petua untuk mudah ingat
apa yang dipelajari. Dengan menggunakan petua ini, anda boleh meningkatkan
kebolehan anda untuk mengingat sesuatu yang anda pelajari hingga 2-3 kali
ganda. Bayangkan jika anda lebih mudah ingat, apakah kesannya kepada pencapaian
akademik dan keyakinan diri anda?
Satu pesan saya, anda perlu ingat, kebolehan yang ada dalam diri anda
tidak terbatas. Apa yang membataskan kebolehan anda adalah diri anda sendiri.
Jika selama ini anda rasa anda lemah dan sukar mempelajari sesuatu, hapuskan
rasa dan kepercayaan begitu. Mulakan hari ini dengan satu kepercayaan baru
bahawa anda juga hebat seperti mana-mana pelajar cemerlang yang lain.
Selamat berjaya!
No comments:
Post a Comment